Sunday, May 2, 2010

Bila Saya Besar Nanti

Bila saya besar nanti saya mahu menjadi detektif, polis, wartawan, wartawan, wartawan, penerbit. Tapi sekarang saya dah besar, saya di sini. Menghabiskan jalan pelajaran menjadi seorang yang membantu orang.

Bila saya besar nanti saya mahu menjadi orang yang berjalan dengan penuh semangat setiap hari. Tapi sekarang saya dah besar, saya selalu jatuh bahkan lebih lembik dari seorang kanak-kanak berjalan rebah.

Bila saya besar nanti, saya mahu menjadi orang yang ada meja pejabat sendiri. Orang yang berjalan dengan elegan. Tapi sekarang saya dah besar, saya lebih selesa kalaulah boleh masuk pejabat dengan T-shirt dan jeans.

Bila saya besar nanti saya akan bebas buat keputusan. Ayah tak payah suruh itu, mak tak perlu suruh ini. Tapi, sekarang saya dah besar, saya rindu hidup saya yang disusun satu-satu.

Bila saya besar nanti saya akan duduk jauh dengan mak ayah saya. Saya tak payah dengar mak saya paksa bangun pagi, paksa sapu rumah, membebel kemas dapur, marah bilik berterabur. Saya tak perlu dengar ayah saya naik angin saya lambat cari barang, tak payah sakit hati ayah ajar cara sapu rumah itu ini. Tapi, bila saya dah besar, saya tahu banyak saya tak tahu dan saya kena cari sendiri jawapan yang saya tak tahu itu. 

Bila saya besar nanti, saya akan masuk universiti. Tapi sekarang saya dah besar, sekolah rendah lebih bahagia.

Bila saya besar nanti, saya nampak yang gembira semuanya. Tapi, sekarang saya dah besar, saya tahu tak semuanya sempurna.

Bila saya besar nanti, saya akan ada kerjaya, ada kereta, ada segalanya. Tapi, sekarang saya dah besar saya takut. Saya membesar menambah tua dan ibu bapa saya semakin berusia.

---
Saya menonton video sukarnya ibu bersalin di rumah Prof Din tadi. Saya teringatkan emak saya. Saya terkenangkan saat setiap malam saya diserang asthma. Emak akan pastikan saya tidak mengambil ais, satu rumah berpuasa buah dan aiskrim. Emak akan pastikan saya mandi dengan hanya air panas. Emak akan pastikan saya berstokin tebal. Emak, dalam saya berpura-pura tidur akan sapukan minyak angin pada dada supaya saya tidur selesa.

Ayah akan angkat saya tidur dalam ribanya. Bila subuh, dengan nafas saya berbunyi dan dada berombak, ayah akan mengaji pada saya setiap kali usai solat. Saya rindu. Saya rindu. Saya rindu.

Saya menonton video anak yang dipeluk erat ibu dan ayah. Keluarga saya pelik. Saya atau kami tak diajar dipeluk atau memeluk. Tapi, bila saya tengok video tadi, saya sedar saya sangat lembut hati bila melibatkan orang bernama ibu ayah walaupun ayah saya pernah mengadu dengan emak saya dia risaukan saya. Dia risaukan saya kerana saya tak reti kalah, tak reti mengalah tak reti beralah. Keras.

Lepas tengok video tadi, baru saya tahu saya sebenarnya harap dapat berada dalam pelukan emak ayah saya. Sekurang-kurangnya sekali. Oh, fragilenya hati.

Lepas tengok video tu, saya tanam dalam hati. Bila saya ada anak, saya mahu jadi ibu dan kawan anak saya. Saya mahu memeluk mereka setiap pagi. Saya mahu setiap malam mendengar semua cerita seharian mereka sehinggalah mereka tertidur. Saya mahu mereka pelbagai mainan agar mereka tidak bosan. Saya mahu lakukan semua benda yang seorang ibu buat untuk anak mereka rasa selamat.

Kalaulah masa berhenti seketika. Saya akan peluk mak ayah saya tanpa mereka sedar. 



Ya. Saya menulis menulis dengan air mata sekarang!

6 comments:

INFINITY said...

Wuuu. AKu sedih gilalah lately!

Administrator said...

nice sharing..make me think..for a moment..

INFINITY said...

Berfikir apakah? :)

chanz said...

Masa aku kecik2 aku ingat bila besar boleh jadi cam Son Goku.

oshinz said...

anda berjaya membuat saya seperti mao menanges..

INFINITY said...

Chanz: Berhentilah hidup dalam dunia khayalan. hehhehehe.

Osh!Nz: Err.. sorry. :)