Aku berdiri di celahan ramai manusia di tengah tengah lautan manusia. Aku berdiri kaku seolah-olah aku berada di dimensi sebuah masa. Melawat sesaknya manusia, berlalu dan berjalan tanpa peduli aku.Tanpa peduli diriku.
Aku menilai manusia merebut masuk ke dalam gerabak pada satu masa. Di sini bukan tempat aku. Aku tidak reti mengejar bagaimana di sini. Aku tidak fasih atas bahasa peraturan mana di sini.
Aku hanya aku. Kaku dalam dunia perhati.
Satu tren berlalu. Tren laluan aku. Manusia berebut bagai sudah tiada keretapi lagi nanti. Berlari, bertolak, menolak, ditolak, tanpa tahu adab kau mahu masuk sila bergerak ke kiri. Itu tertib. Biar yang mahu keluar, berlalu dulu. Engkau nanti. Maka rebutan ini, buat aku memilih melepaskan pergi. Nanti pasti ada lagi.
Bukan hanya aku, beberapa kumpulan lagi ketinggalan. Dan beberapa orang bakal terkepit antara celahan pintu memaksa jasad masuk juga walau apa cara.
Barangkali perlu ada manusia terperosok di bawah tayar besi, mati, maka baru kau sedar dunia ini bukan mengejar keretapi semata?
Tren kedua, 7 minit.
Aku bangun beratur di celahan ramai. Lautan manusia buat aku mual, sesak, dan loya pada bau karbon dioksida. Aku lemas. Kutarik novel dicelahan barangan lain, mengalih pandang, mengubah fikir agar loya mual ini bisa hilang serta merta.
Aku abadikan dunia 7 minit menanti pada kisah cerita novel setebal 3cm itu. Dunia aku tenang sahaja. Dunia bising dalam rebutan manusia, aku bisukan pada cerita manusia, plotnya ada, layarnya aku reka. Aku menjadi manusia berada di depan pada barisan.
Bukan aku mahu cepat, tidak mengapa. Aku hanya tidak mahu ketinggalan kerana aku tidak reti bagaimana berebut dan aku tidak ingin itu. Satu persatu meninggal selesa mula mengatur langkah merapati barisan. Sesekali bacaan terhenti melihatkan manusia yang hadir bagai tiada sudah.
Ramai. Sungguh ramai.
"Tren ke Seremban akan tiba 3 minit lagi. Train to Seremban will be arriving in 3 minutes,"
Satu persatu menolak aku. Aku tutup kemas helaian dan aku melihat tajam. Satu menolak. Satu berebut. Satu berdiri tanpa segan.
Semua ingin cepat. Semuanya masa. Namun sama sekali pada hemah aku tidak membenarkan untuk kehilangan nilai baik manusia.
Namun aku malas bicara. Sini bukan dunia aku.
Dan aku berlalu pergi.
Melepaskan tren kedua untuk sekali lagi....
No comments:
Post a Comment