Bila aku fikir balik, selain dari aku terfikirkan perihal hikmah tersembunyi, aku fikirkan mengapa?
Kadang-kala bukan manusia memilih untuk bersikap kejam, juga bukan milik manusia untuk tidak dikejami. Ini perihal situasi. Aku yakin, situasi memilih untuk bertindak begini meski akan ada hati yang perit derita disakiti.
Aku menghela nafas panjang mencari sisa kuat tersembunyi di celah celah hati. Jauh terpalit rasa pahit, aku pernah ditempat itu dan aku berharap aku tidak lagi akan dikunjungi rasa tidak selesa begini.
Bukan dia minta untuk memiliki sel darah putih lebih dari sekadarnya. Bukan dia mahu untuk menerima tuberculosis (TB) pada masa yang sama? Dia, sudah sangat berhati-hati atas apa ubat yang diberi untuk ditelan, bahkan dia juga memberitahu perihal TB, aku yakin untuk mengingatkan keperluan beringat bila melihat dia.
Kejamkah penyakit itu kerana mendatangi dia?
Mengapa tidak pergi kepada mereka selain dia yang tidak berbakti kepada masyarakat, tidak bernilai kepada jiran setempat?
Kejamkah pilihan itu?
Dengan hanya kulit dan tulang serta kerahan segala tenaga bersisa untuk selangkah jalan maju ke depan, dia berwajahkan pasrah. Tidak perlu aku tambahkan lagi dengan setiap pautan lemah hanya untuk tidak tergelongsor jatuh, dia pegangkan redha. Badan sekeping itu pasti menerima segala perhatian simpati mahupun pelik hati, dia memilih kunyah, telan dan hadam. Ini jalan dia.
Kerana manusia disediakan perasaan kuat ingin tahu, maka kejamkah mata masyarakat yang melihat memandang?
Dia perlu bertemu dengan pelbagai pakar untuk menilai setiap satu dengan terperinci bagi setiap satu perkara yang berlaku. Buruk baik setiap titik ubat ditelan. Begitu begini atas setiap suntikan diberi.
Dan setiap kepakaran itu harus menyembunyi serta merta saat diberitahu tentang penyakit berjangkit ini. Manusia pakar ini juga manusia. Punya tubuh dan jasad yang tidak terlalu kuat untuk menepis segala sakit dibawa pesakit. Manusia pakar itu juga lemah, untuk tidak berasa takut dijangkiti. Mereka juga manusia, ada hati perasaan berbelah bagi antara hati pesakit di depan dan kemungkinan pada hari kemudian.
Kejamkan manusia ini?
Dan saat tiba-tiba datang rakan sejawatan mahu bersama bergandingan membantu, hati manusia ini disiat untuk memberitahu hai kawan, aku mahu kau lebih beringat akan masa depan yang mungkin datang jika kau tidak berjaga saat ini. Dia tersepit tentang bagaimana mahu disampai berita yang depannya manusia sudah kulit dan tulang, dan disebelahnya rakan situasi yang sama sedang berdepan.
Selangkah ke depan kau berbisik, jaga jaga akan setiap kulit kau jamah, dia ada TB.
Berat untuk dikhabarkan bimbang hati yang rapuh berdepan dugaan mendengar.
Maka, kejamkah dia tatkala sahabat mula menyentuh, dia dengan cepat berbisik perlunya hati-hati. Mungkin pesakit mendengar, mungkin tidak? Mungkin hatinya merintih sudahlah aku begini, kau pula begitu. Mungkin tidak.Tiada dua pilihan mudah disini.
Kejam jugakah dia?
Kejamkah?
No comments:
Post a Comment