Saturday, March 26, 2011

Bagaimanakah Lagi?

Aku percaya, pada jiwa seorang manusia itu, dalam sehari akan ada sesaat sampai satu rasa insaf tidak kira perihal apapun. Aku percaya, pada rasa insaf itu kadang kala air mata yang mampu memadam bahan neraka mungkin dan boleh dan akan tertitis. Aku percaya, selagi mana tidak ditarik lagi rasa ihsan dalam diri, maka sesaat itu pasti akan datang menziarahi jiwa jiwa ini.

Aku berharap, aku antara yang termasuk dalam golongan menerima sesaat itu.

Setiap kali menjenguk malas ke dalam perpustakaan, tempat pertama akan aku jejak adalah ruang akhbar. Dan kalau aku baca, bukan satu malahan kesemua jenis dan jenama akhbar yang ada. Aku tolak tepi mandarin dan tamil, selebihnya kalaupun tidak aku mengeja satu persatu, selakan helaian demi helaian, pasti.

Tidak perlu terbang melangkah ke Jepun atau Mexico atau Libya. Kau toleh dongak dan jenguk sebentar jendela Malaysia. Pada bahasa bagaimanakah boleh dibanggakan lagi negara ini?

Pada malu bagaimanakah lagi boleh ditunjuk untuk nyawa manusia bayi bayi bertebaran tiada harga?
Pasa hormat bagaimanakah lagi boleh ditabik pada cerita fitnah dalilnya?
Pada sayang bagaimanakah lagi boleh dipalit pada putih wajah hitam jiwa?
Pada kasih bagaimanakah lagi boleh ku beri untuk setiap jauh sasar gerak lakunya?

Aku tidak meminta segala wang ringgit harta benda. Aku hanya pohon didiklah negara ini dengan sejahtera. Jika pincang setiap langkahmu, bagaimana kau mahu kami berlari laju? Mana mungkin ketam yang senget mengajar generasinya bertatih lurus?

Hidup bukan disini sahaja. Lupakah kau pada soal jawab mahkamah nanti?

Hati mari terbang jauh pada perang alam semesta. Serapat rapat ikatan air dan manusia, sekali air mencerlung duka, satu dunia menjerit hiba! Sesekali bumi menuntut bela, satu dunia hilang rasa! Sesekali angin menunjuk benci, tiada air mata mampu lagi kau tangisi.

Tangan tangan kita meranap anugerah, kini merintih bersedih. Tangan tangan kita tidak pajak penuh sayang, maka satu persatu hilang bayang. Pada siapa harus diletak beban? Pada diapa harus dicampak sesal. Tiada siapa mampu menarik masa. Tiada.

Dan jika masih mampu boleh memanggil pulang waktu. Apa perancanganmu? Membina tembok setinggi mungkin maka bila air menghulur salam musuh maka kau boleh ketawa, hey sang air kau boleh buat apa?

Percayalah. Manusia jarang sekali memegang sesal mengekal kesal. Jika pun diberi peluang, bagaimana beringat sekalipun, hujungnya lupa. Atau bagaimana tunduk rendah menatap bumi, syaitan ada peranan biar kau bangkit mendongak langit berzikir angkuh.

Maka pada sesaat insaf yang dikurniakan untuk setiap insan itu kuharapkan agar biar kekal. Kekal.

Kerana aku amat khuatir, pada salam ingat dari semesta adalah salam alamat sebelum Israfil meniup sangkakala.

2 comments:

Farah Farhana said...

terbaiklah kak huda. saya suka baca setiap baris nukilan kamu yg punya 1001 maksud tersirat. teruskan taw. ;)

INFINITY said...

Farah: Hee. Thanks. I kan jiwang. :P